Wednesday, 16 September 2015

Nikmat makan yang tertangguh tersangkut terbantut.

Entri #: 50 - Nikmat makan yang tertangguh.
Teks oleh: Umi Arbee Ali
Foto oleh: Umi Arbee Ali

Hari itu saya lewat makan tengahari. Sebagai suri bekerja di rumah, kebiasaannya saya wajibkan diri makan pagi. Makan dulu sebelum uruskan anak makan. Makanan digandingkan dengan susu kambing. Supaya perut kemas dan badan bertenaga. Perut kosong membuatkan cepat marah dan kurang bersedia. 

Kebiasaannya juga saya sediakan semuanya di meja makan. Makanan, air, pinggan, cawan dan mangkuk, sudu garfu jika perlu. Supaya mereka tak meminta itu ini apabila saya mula bekerja. Namun, hari itu tak seperti biasa.

Kesibukan terurus. Apabila sibuk kita cenderung tidak ada masa untuk sendiri. Contohnya apabila satu hari saya ada aktiviti, saya akan pastikan makan makanan yang berkhasiat yang mengenyangkan. Selalu mengambil kurma badam untuk alas perut, atau jika saya tahu saya tidak sempat untuk makan tengahari, pagi hari akan minum milo panas dan saya makan berat sekitar jam 10 pagi iaitu nasi dan susu kambing. Jadi saya dapat bekerja sehingga petang iaitu 5.00. Hanya berhenti untuk solat Zuhur rehat sekejap sahaja dan teruskan apa sahaja aktiviti
yang 'disibukkan' pada hari tersebut.
Halaman 91 ebook Superwahm supermom.

Ketika mencedok nasi anak, teringat belum sediakan air minum. Ketika baru nak menyuap anak, teringat tak sediakan straw. Baik usianya 1 tahun lebih mudah minum dengan straw. Saya mencuba menu baru nasi planta dan ayam bakar susu yang Alhamdulillah mereka suka. Makan berselera bertambah. Tempoh masa makan menjadi panjang. Saya melayan anak-anak makan sambil menelan air liur dalam hati "sedapnya".

Suapan pertama ke mulut sendiri, tiba-tiba jiran menelefon kerana terkunci di luar rumah. Saya tinggalkan nasi bergegas menolong. Komuniti suri bekerja di rumah di lorong kami ini rapat ukhwahnya. Telinga mendengar mata melihat apa-apa yang mencurigakan.
Pulang ke rumah menghadap nasi yang sejuk saya mula hilang selera. Suapan ketiga, Baik jatuh dari kerusi meja makan. Kini, saya benar-benar tak berselera. Ia terbantut. Tersangkut.

Saya kira ini ada kaitan dengan tabiat saya yang gemar mempamer gambar masakan saya pada umum. Mereka yang melihat gambar yang saya muatnaik pasti berkata "sedapnya" namun tak dapat menjamah kerana hanya gambar. Terbantut tersangkut.
Menu baru nasi planta ayam bakar susu sudah terhidang depan mata "sedapnya" namun kuasa Allah saya tak dapat menjamahnya. Terbantut tersangkut.

Ustaz sering berceramah menegur usah sebarkan gambar makanan nanti orang miskin melarat teringin. Ada yang menjawab dia miskin nak makan pun tak mampu, bagaimana nak adakan smartphone dan internet langsung terjumpa gambar makanan. Saya simpulkan di sini, nafsu makan itu bukan hanya dirasai orang miskin melarat malah juga orang bekerja dalam hawa dingin pejabat.

Walaupun ia bergantung niat masing-masing, namun perkara di bawah harus diambil kira:
1) Dibimbangi terjerumus dalam riak perkara dunia. Al-Abdari mengatakan, "Antara jenis riak ialah seseorang menunjuk-nunjuk kepada ahli dunia tentang dunianya, seperti pakaiannya, kenderaannya, tempat tinggalnya, tempat duduknya, makanannya minumannya..." Al-Adab al Syar'iyyah
2) Dibimbangi terjebak ke dalam sifat bermegah-megah dengan makanan. Sedangkan syarak melarang bermegahan dengan makanan. Diriwayatkan dalam satu hadis, "Bahawa Rasulullah SAW melarang makanan dua orang yang bermegah-megah (mutabaariyain) untuk dimakan. -Riwayat Abu Daud
-Dari fb Ustaz Azhar Idrus DI SINI.

Hal makan terbantut tersangkut ini kerapkali berlaku kepada saya. Namun akhir-akhir ini barulah akal dapat menilai. Allah tegur kita pelbagai cara supaya kita dapat berfikir.

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar dari dosa-dosamu.” (surah As Syura, 42 : 30)


Saya Umi Arbee, Pengurus Online Abdr yang Bekerja di rumah. 
-Daftar kelas blog secara online untuk sertai.
-Gabungan 8 makanan sunnah dalam 1 botol di sini Qaseh gold bangi.

















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...