Monday, 6 June 2016

Saya mahu jaga ibu bapa saya.

Entri #100 : Saya mahu jaga ibu bapa saya.
Teks oleh : Umi arbee ali
Foto oleh : Umi arbeeali

Dah jatuh dah! Pakcik itu memang benar-benar telah jatuh! Suami saya sibuk menyediakan kerusi untuknya. Memegang lengan dan tongkat dan menyuruh dia duduk. Kemudian mengangkat bungkusan plastik makanan yang jatuh di atas lantai. Sebaik diangkat, kuah sup tumpah ke atas lantai. Banyak juga. Saya nampak ayam goreng terendam dalam kuah sup. Sudah tak garing kulit luarnya. Sudah tak sedap.

Tukang kedai mengarahkan diganti baru. Saya lihat suami bungkuskan kuah sup ayam dan sambal belacan. Suami masukkan semua lauk sup ayam, ayam goreng, sambal belacan dan sayur goreng ke dalam plastik merah baru.

Ketika cuba berdiri, terketar-ketar dia berpaut pada lengan suami sambil suami memeluknya. Sampai di lantai yang sedikit curam kira-kira 35° dia berkata "di sinilah yang saya tak boleh. Tadi tu jika saya tak lepaskan makanan maka saya yang jatuh."

"Saya begini sebab strok. Saya boleh drive. Tapi dari duduk ke berdiri susah sikit ambil masa dan tak berapa stabil bila berjalan. Sebelah kiri badan tak berapa kuat". Pakcik itu berlalu pergi dengan kereta besar mewahnya. Sempat dia berpesan "Jaga makan. Dah jadi macam saya susah.."

Pada awal tiba di kedai, saya nampak pakcik itu ketika suami menegur "jaga beg tu kena orang". Dia di celah-celah ramai orang turut sama mencedok lauk makan tengahari. Suasana yang sibuk kalut. Masing-masing lapar nak makan. Cuaca panas berpeluh nak air sejuk campur ais. Bezanya dia melangkah mengangkat kaki perlahan, sebelah tangan memegang tongkat. Bila kedua-dua tangan buat kerja, tongkat disandarkan pada almari lauk. Beberapa kali juga dia ditempuh orang. Orang-orang yang masih kuat bertenaga ligat buat kerja.

Dia membayar dan menuju ke kereta. Kemudian dia berpusing dan melihat orang seperti nak menyatakan sesuatu. Saya senyum dan angkat kening tanya perlu apa-apa. Dia hanya membalas senyuman saya. Semasa suami membayar, suami mengarahkan saya ambil teh tarik bungkus di kaunter air. Saya tinggalkan pakcik itu di situ masih berdiri dengan baik beberapa langkah dari tempat curam itu. Sebaik berpaling dia sudah jatuh!

Kita yang melihat terdetik di mana anak dia, kenapa dibiarkan dia pergi beli makanan sendiri. Begitulah juga tanggapan orang lain bila melihat ibu ayah kita membuat apa-apa aktiviti sehari-hari di kampung. Sama aje 2 × 5. (Saya lah tu.)

Moga Allah ikhlaskan hati saya, dilimpahkan kasih sayang, diberikan kesempatan masa, kekuatan dan kesihatan badan untuk berbakti menjaga mak abah dan cek.
Walaupun saya sedia maklum..jaga 100 tahun pon takkan dapat membalas pengorbanan mereka.

"Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa" [Surah ar-Rum 54]

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...